Jumaat, 25 September 2015

Shafie Apdal terus "bakar kemarahan" Najib

Datuk Seri Shafie Apdal menggesa Putrajaya menerima saranan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz supaya menyelesaikan segera isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) supaya pelabur tidak terus hilang keyakinan kepada Malaysia.

Naib presiden Umno itu yakin kenyataan Zeti berhubung kejatuhan mata wang berpunca daripada skandal 1MDB mempunyai kebenarannya kerana Bank Negara sendiri terlibat dalam siasatan syarikat sarat hutang itu.

"Tan Sri Zeti selaku gabenor Bank Negara memperingatkan dengan niat yang kita yakin beliau mempunyai pelbagai maklumat tentang 1MDB yang perlu penjelasan dan penyelesaiannya," kata Shafie kepada pemberita semasa majlis korban di Semporna, Sabah pagi ini.

Zeti baru-baru ini berkata, negara tidak perlu satu lagi skandal kewangan dan menegaskan kejatuhan mata wang hanya akan pulih jika isu berhubung 1MDB diselesaikan segera.

Beliau juga berkata orang ramai berhak mendapat jawapan berhubung skandal kewangan membabitkan syarikat yang dinaungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu.

Shafie berkata, jika isu 1MDB tidak ditangani segera, ia akan terus menghakis keyakinan pelabur.

"Kesan dan tempiasnya bukan RM42 bilion defisitnya atau 2.6 bilion dalam akaun peribadi tapi kesan daripada keyakinan dan kepercayaan pelabur antarabangsa boleh terhakis kalau perkara ini tidak diatasi."

Walaupun 1MDB memiliki aset yang besar, ia bukan aset yang produktif, kata Shafie.

"Kita sedar mengenai asetnya yang mungkin melebihi daripada hutangnya, tapi kita juga sedar dan tahu aset yang ada bukannya produktif yang tidak meraih hasil di mana pihak 1MDB terpaksa bergantung kepada pihak yang lain untuk mengatasi masalah (hutang) ini.

"Pendekatan perlu menggunakan kebijaksanaan bukan hanya dengan menjual aset sedia ada selepas itu jualan aset pun hilang, hasil pun hilang."

Nilai ringgit jatuh kebelakangan ini ke paras terendah sejak krisis terakhir pada 1997. – 24 September, 2015.

RUANG PENGIKLANAN

MAKLUMAT LANJUT KLIK SINI

WUJUDKAN SUASANA ISLAMIC RUMAH ANDA DENGAN ALUNAN AZAN, ZIKIR DAN BACAAN AYAT ALQURAN. POST LAJU + GIFT PERCUMA IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI IKLAN TEKS DI SINI

1 respon:

Tanpa Nama berkata...

mana blh bagi tau semuanya..nnti tinggai spende aje la ketua lanung selanung 1malaya tu? kan dia dah ckp- duit derma jatuh dari langit seperti dilakukan oleh Gandalf tu kah..kah..kah..?